Saat ku mujahiddah....
Air mata ibarat
butiran mutiara yang sangat cantik. Namun kecantikan itu hanya terjelma dari
sebuah kesedihan dan keluluhan hati. Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh
ironi, ianya dapat mendamaikan sekeping hati yang rawan.
Air mata ibarat embun
yang menitis, sungguh menyegarkan. Namun kesegaran itu hanya bisa terjelma
setelah melalui malam panjang yang dingin dan gelita. Sungguh ironi, ianya
dapat menenangkan hati yang terluka.
Air mata ibarat hujan
yang merenyai, sungguh menyejukkan. Namun kesejukkan itu hanya mampu terjelma
setelah mendung yang menduga. Sungguh ironi, kerana ianya mampu melegakan
gelojak jiwa.
Namun, disebalik
semua ironi ini, apakah nilai sebenar sebuah tangisan?
Percayakah jika ku
katakan hati itu adalah sangat keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu
bila dihempap air betubi-tubi lama-lama akan terbelah jua ianya. Demikianlah ku
rasakan hatiku juga sungguh keras.
Kali terakhir air mata membelai pipi
kira-kira 8-9 tahun yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang
kesan dihati. Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup.
Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang
dipekakkan, tetapi hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran
Allah dalam Al-Quran, tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul.
Mungkin hati itu tidak pernah merasa
apa itu cinta sebenar kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah
dan Rasul. Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak
meninggalkan parut di hati.
"Allah telah
mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan
mereka akan mendapar azab yang amat berat"
(Surah al-Baqarah ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa Kasih dan
Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah
membalutinya. 'Cirrhosis' jika mengikut istilah perubatan. Hati yang
telah keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain.
Selayaknya menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat
Firman Allah;
"Dalam hati
mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu, dan mereka mendapat
azab yang pedih kerana mereka berdusta"
(Surah al-Baqarah ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan
musibah untuk diriku.. air mata lah yang menjadi suri peneman hidupku. Tatkala
mencari ruang untuk mencari kekuatan, air Mata juga lah yang menjadi penawar
tiap kedukaan yang menyapaku. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat
merasakan kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ku cuba selongkar tiap
hikmah yang tersirat di dalam ujian yang dihantarkan kepadaku.
Ibarat terpenjara dalam satu sangkar
emosi yang dikurung rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan
sendirian, air mata mahu berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di
tengah jalan saat orang ramai di sepanjang jalanan. Saat berkurung dibilik, air
mata berjurai laju. Saat ke kelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak
bisa ternampak oleh rakan-rakan.
Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang
keras dan kalis tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah
sehingga hati yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang
kian suram, menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang
tak mampu difaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi
kegembiran yang berlalu di depan mata, tapi tidak mampu merasainya.
Tangisan itu hanya semata-mata untuk
dunia. Menangisi dunia yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa,
bahawa Allah menginginkan dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari,
aku meluahkan apa yg terbuku dihati pada seorang sahabat.
Lalu dia bertanya padaku, "Untuk
apakah dan siapakah tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan
Allah?"
Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan
sebuah pertanyaan " Untuk siapa kau rasa?" dan berlalu pergi tanpa
menunggu sebuah jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa
tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu
peristiwa dipagi hari, saat tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di
sepertiga malam, terdengar sendu tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud
menghadap Ilahi. Hati turut menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya
mengapa dia menangis? Aku bertanya padanya selepas itu " Mengapakah kau
menangis?". Jawabnya, " Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan
Allah, maka aku menangis".
Mendengarkan jawapan tersebut aku
terpana. Aku tertanya, jika tangisnya untuk Allah, maka untuk siapakah
tangisku? Baru kusedar, tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai.
Pernah ku terbaca
sebuah hadith Nabi dalam sebuah buku karangan Tok Guru Nik
Abdul Aziz.
Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa
diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT
ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, "
Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?" Lalu Allah SWT memerintahkan para
Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih
lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.
Sebanyak mana air mata yang mengalir
kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan
darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama
Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang
telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat
Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.
Betapa besar nilai sebuah tangisan yang
belum kita faham. Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya
sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik
ujian yang sangat berat yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang
telah keras. Hati yang perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun,
Allah tidak membiarkanku lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan
seorang sahabat setia untuk mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar
padanya. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja.
Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk
hamba-Nya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.
Maka, tanyalah kembali diri kita,
kemana telah tumpahnya air mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan
dosa yang menggunung sedangkan amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang
hanya sementara. Kiralah berapa banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati
bila putus cinta? Kiralah betapa banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta
disayangi. Kiralah berapa banyak air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga
tersayang yang telah pergi. Kiralah berapa banyak air mata yang tumpah kerana
perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun
tangisan itu tiada bermakna. Tidak bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan
tumpah kerana cinta dan kasih hanya kepada-Nya.
Di akhirat kelak, Allah akan
mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang
tumpah hanya pada-Nya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang
diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan
air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan,
kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana
perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh
lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.
Dicelah-celah kegersangan hati dan
sukma, basahkan lah ia dengan tangisan sebagai sebenar-benar hamba.. Alirkanlah
ia dan persembahkanlah hanya kepada Allah semata. Sudah terlalu banyak air mata
yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar la ia tumpah di medan perjuangan
ini, bukan kerana sedih atau berputus asa, tetapi kerana mendamba kasih dan
Rahmat Ilahi dan cinta baginda, Muhammad SAW.
Sungguh besar nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu, umpama besarnya seperti
darah syuhada' dan dakwat para ilmuan. Tangisan yang lahir dari hati yang
mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Maka, ku syukuri setiap ujian yang
menduga kerana dengan ujian itulah hati yang keras menjadi lembut. Hanya dengan
ujianlah membawa hati lebih ingat kepada tuhanku dan hanya dengan ujian hati
ini sentiasa tenang dalam rahmatNya.
Ya Allah anugerahkanlah aku
sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada
tangisan menghadap-Mu"